Bismillahirrahmanirrahim..
"(Ingatlah) hari (yang pada waktu itu) Allah mengumpulkan kamu pada hari perhimpunan (untuk dihisab), itulah hari (waktu itu) diperlihatkan segala kesalahan dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amal soleh nescaya Allah akan menutupi kesalahan-kesalahannya dan memasukkannya ke dalam syurga dan mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah keuntungan yang besar."
(Surah At-Taghabun, 64:9)
Apabila mengingatkan akan dosa-dosa semalam yang pernah dilakukan, terasa menggigil seluruh tubuh badan dan takutnya akan azab Allah yang bakal datang bertimpa. Tidak cukup dengan itu, datangnya perasaan takut dan malu seandainya dosa-dosa hitam yang telah dilakukan yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan orang lain dibongkar dan diketahui satu persatu.
|
[kredit] |
Sungguh diri ini malu andainya ibu bapa, kawan-kawan dan semua orang lain mengetahui apa yang telah dilakukan. Mungkin di dunia ini kita mampu menutup dosa-dosa yang telah kita lakukan dengan rapi. Tapi adakah kita lupa bahawa adanya hari akhirat?
Astaghfirullahal 'azim.
Hari kiamat mempunyai berbagai-bagai nama. Dan salah satu daripadanya ialah Hari Perhimpunan. Di mana pada hari itu seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk ditimbang amal-amal yang telah mereka lakukan di dunia dahulu. Pada hari perhimpunan ini, Allah akan menampakkan dan mempertontonkan segala perbuatan-perbuatan yang telah kita lakukan termasuklah dosa-dosa yang cuba kita sembunyikan daripada mata-mata manusia. Tidak ada satu pun yang akan terlepas atau pun boleh di 'skip'
Cuba kita bayangkan, segala dosa-dosa kita dipertontonkan satu demi satu. Alangkah malunya! Dan ianya dipertontonkan di hadapan semua manusia (rasa nak pitam). Sedangkan kalau ada seorang sahaja yang tahu pun kita sudah tidak boleh duduk diam sebab bimbang dan terasa malu. Apatah lagi apabila semua orang tahu apa yang telah kita lakukan.
Sanggupkah kita menanggung malu di akhirat sana? Cuba tanya diri kita (especially bagi saya yang menulis ni), mampu dan sanggup ke kita tanggung malu di sana nanti? Hurmm, mesti tak sanggup kan?
Tapi kan, Allah tu memang Maha Penyayang. Dalam surah At-Taghabun ayat 9 Allah dah menjelaskan dan Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh bahawa segala kesalahan mereka akan ditutupi dan Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Inilah ganjaran yang diperoleh oleh orang-orang yang beriman kepada-Nya. Inilah sebesar-besar anugerah kepada orang yang beriman. Tidak mahukah kita menjadi golongan ini?
Sudah tentu kita tidak mahu dosa-dosa yang telah kita lakukan sama ada besar atau pun kecil dipertontonkan kepada orang ramai kan? Jadi, marilah sama-sama kita kembali kepadaNya. Malulah apabila hendak melakukan maksiat kerana sedarlah kita sedang diperhatikan. Allah tu sentiasa ada dan memerhatikan setiap apa yang kita lakukan dari sekecil-kecil perkara sampailah kepada sebesar-besar perkara.
Kembalilah menyemai benih-benih iman yang telah mula pudar dalam diri. Cantaslah segala maksiat yang masih membelenggu diri. Marilah kita kembali kepadaNya. Sucikanlah kembali diri dengan taubat. Taubat yang sebenar-benarnya. Titiskanlah air mata keinsafan. Semoga setiap air mata yang gugur kerana takutkan Allah atas segala maksiat yang telah dilakukan bisa menghapus dosa-dosa yang telah dilakukan. Amiin.
Jom sama-sama kite berpimpin tangan ke syurga nak? ^_^