Bismillahirrahmanirrahim..
Saya repostkan kembali entry yang pernah saya tulis pada dua tahun yang lepas. Sebabnya kita (baca: diri saya sendiri), mudah lupa dan amat perlu untuk diperingatkan banyak kali supaya tidak tergelincir dan terus thabat di jalan dakwah ini. Semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya.
Syed Qutb ada berkata:
" Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhirnya kita dengan umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula daripada bermulanya manusia dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini.
Jika kita rasa kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi sehinggalah ke akhir zaman.
Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang."
Jadilah salah satu daripada mata rantai perjuangan ini. |
Adakah kita salah seorang yang menjadi penyambung mata rantai perjuangan ini? Perjuangan untuk menegakkan agama Allah yang telah berlangsung semenjak zaman Rasulullah saw lagi. Sehingga baginda sanggup dibaling batu, dihina dan dicemuh oleh orang-orang yang tidak sukakan Islam. Betapa baginda sanggup berkorban bagi memastikan Islam sampai kepada kita pada hari ini.
Sungguh perjuangan baginda itu tidak mudah. Baginda dan para sahabat berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa bagi memastikan risalah agung ini sampai kepada kita.
Sejak baginda menerima wahyu tentang kerasulan baginda di Gua Hira' sampailah ke penghujung nyawa, baginda tidak pernah lupa akan tugas baginda sebagai penyampai risalah ini.
Hinggakan dalam khutbahnya yang terakhir juga baginda berpesan:
"Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU."
Tengoklah betapa Rasulullah saw sangat menyayangi umat-umatnya. Baginda meninggalkan kita dua perkara yang bila mana kita berpegang teguh kepadanya kita tidak akan sesat. Dan baginda juga menyuruh kita menyebarkan risalah Allah kepada orang lain. Sungguh, setiap daripada kita bertanggungjawab untuk memastikan Islam terus ada dan tersebar di muka bumi ini.
Ingat, kita bukannya berseorangan dalam jalan ini. Sekiranya kita berseorangan maka kita akan senang dipatahkan. Umpama lidi. Sebatang lidi pasti amat mudah untuk dipatahkan. Tapi sekiranya seberkas lidi ingin dipatahkan, itu bukanlah satu perkara yang mudah. Disebabkan itulah kita kena bergerak secara berjemaah, secara berkumpulan. Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
(Surah As-Saff, 61:4)
Jadilah salah satu daripada batu-bata ini untuk membentuk satu bangunan yang kukuh. |
Kadang-kadang saya terfikir, apakah yang menyebabkan Rasulullah dan para sahabat begitu gigih menyebarkan risalah Allah ini. Akhirnya, saya mengetahui jawapannya.
Ikhlas dan thabat.
Fatamorgana dunia tidak pernah menyilaukan pandangan mereka. Terik matahari tidak pernah melunturkan semangat mereka. Ribut dan taufan juga tidak berjaya membuatkan mereka berundur. Ancaman-ancaman musuh juga ditempuhi dengan tabah.
Sebabnya mereka ikhlas melakukannya kerana Allah. Mereka juga tetap tegak berdiri di jalan ini walau apa ujian yang melanda. Tetap thabat dalam perjuangan ini, membela agama Allah.
Sungguh perjalanan ini sangat jauh. Perjalanan ini memang akan memakan masa yang panjang sehinggalah menjelangnya hari kiamat.
"Kalaulah apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang amat mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq) itu akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu adalah jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu." (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggup mengikutmu)." (Surah At-Taubah, 9:42)
Moga Allah redha.
infonya sangat menarik...
ReplyDeletemantap...
salam sukses...
mantap...
ReplyDeletemohon terus menulis
ada fb page ke?