Bismillahirrahmanirrahim..
Mentari masih berada di ufuk barat, tapi cahayanya kian hilang kerana hari semakin beransur petang. Seorang pemuda masih lagi mengerjakan tawaf mengelilingi rumah suci bersama ratusan manusia yang sedang mengerjakan umrah. Sambil matanya liar mencari sesuatu, ia masih ingat beberapa hari yang lepas ia terpandangkan wanita itu, tapi hari ini dia tiada, mungkin dia telah ke khemahnya. Hari tersebut Allah masih belum menguzinkan untuk bertemu dengannya. Pemuda itu kembali ke kehemah tempat penginapannya dengan rasa kehampaan.
Ia tidak dapat tidur sepanjang malam. Wajah wanita itu datang silih berganti. Ia kagum akan kejernihan dan ketenangan wajahnya. Setiap kali ia mengerjakan tawaf pasti akan terpandangkan wajahnya yang begitu tenang dan syahdu bermunajat kepada Tuhan. Kelakuannya diperhatikan tanpa jemu, khusyuk sungguh dia beribadah dan bertawaf, mulutnya tidak berhenti berzikir memuji Allah.
Walaupun dia telah berumur tapi ketenangan dan kebersihan wajahnya telah menampakkan ia lebih muda dari usianya yang sebenar. Dia tidak pernah berhenti dari mengerjakan tawaf mengelilingi rumah suci itu. Dia tidak pernah rehat dan membuang masa. Kalau dia berhenti dari mengerjakan tawaf, dia akan sembahyang sunat, membaca Al-Quran ataupun berzikir kemudian menyambung lagi tawafnya. Hebat sungguh kekuatan yang ada pada dirinya. Kalau dibandingkan dengan pemuda itu yang masih mudapun terasa letih dan lenguh, inikan pula seorang wanita yang sudah berumur.
Kelakuannya tergambar dalam benak pemuda itu satu persatu, jalannya, wajahnya yang sentiasa tunduk itu menarik perhatiannnya. Matanya tidak pernah liar memandang ke sana ke mari, nampaklah ia seorang yang tawadhuk dan merendah diri. Ratusan manusia yang berada di sekelilingnya sedikitpun tidak menarik perhatiannya. Apa yang menyebabkan dia mendapat ketenangan itu? Mungkin juga dia tidak pernah mengalami kesusahan dan penderitaan Mungkin juga dia ialah wanita yang sentiasa bahagia dan gembira selalu, mempunyai kaum keluarga yang sentiasa mengambil berat mengenai dirinya. Itulah telahannya, mungkin benar atau tidak, wallahu'alam. Tapi wajahnya yang tenang itulah yang menghantui pemuda itu sekarang. Air mukanya sejuk bak salji. Lamunannya kadang-kala diperhatikan jauh di awang-awangan, tenang, damai dan syahdu.
Hati pemuda itu semakin meronta-ronta untuk bercakap-cakap dan mengetahui latar belakang hidupnya. Tapi ia bimbang, adakah dia mahu bercakap-cakap dengannya. Walaubagaimanapun, usinya muda dan mungkin berpangkat anak kepadanya. Oleh kerana matanya masih tidak mahu pejam, pemuda itupun bangun berwudhuk dan mengadap Allah, melakukan sembahyang taubat dan sembahyang istikharah. Semoga Allah mengampuni dosanya mengingati seorang perempuan.
Akhirnya Allah izinkan juga ia menghampiri wanita itu, setelah sekian lama ia memerhatikan kelakuannya dari jauh. Petang itu terasa semacam satu keberanian untuknya berdepan dengan wanita itu.
" Assalamu'alaikum.." tegurnya.
" Wa'alaikumussalam.." jawab wanita itu.
" Maafkan saya puan, kerana ingin bertanya sesuatu. Telah lama saya perhatikan puan, puan kelihatan tidak pernah letih dan jemu mengerjakn tawaf. Puan juga kelihatan khusyuk dan langsung tidak menghiraukan oarang-orang di sekitra puan yang berbagai-bagi ragam dan kadang kala menguji kesabaran puan dalam mengerjakan ibadah di dalam Masjidil Haram ini. Wajah puan juga menggambarkan ketenangan yang luar biasa. Apakah yang menyebabkan puan merasa lazat dan bersungguh-sungguh dalam mengabdikan diri kepada Tuhan. Saya harap puan mahu bercerita agar saya dapat belajar dari puan".
Melihat kepada kesungguhan lelaki itu bertanya, wnita itu diam sebentar, dia termenung seketika, wajahnya tiba-tiba sedih. Lalu dia pun berkata, satu demi satu..
" Saya sebenarnya tidak suka orang tahu mengenai liku-liku hidup saya. Mungkin saudara tidak percaya kalau saya katakan sayalah yang paling malang hidupnya di dunia ini. Bukan saya kesal dengan qadha' dan qadar Allah tetapi kalau saudara ingin tahu juga akan saya ceritakan. Mungkin ianya boleh dijadikan teladan pada hidup saudara kelak."
Kelihatan dia menarik nafas panjang lalu memulakan ceritanya..
" Asalnya saya tinggal di perkampungan Oasis yang terletak di hujung padang pasir dalam negeri Yaman. Saya telah berkahwing dengan suami saya 18 tahun yang lalu dan dikurniakan dengan 4 orang cahaya mata. Tiga lelaki dan satu perempuan. Siti Asma' adalah anak perempuan saya yang sulung dan sudahpun berumah tangga. Faisal 10 tahun umurnya. Ikrimah pula berumur 8 tahun dan Zaid yang bongsu masih lagi menyusu dan baru pandai merangkak. Tapi kini mereka semua sudah tiada lagi, dijemput Allah kembali kepadaNya."
Pemuda itu tertarik mendengar ceritanya, cara dia bercerita agak tenang dan kesayuan pada wajahnya jelas kelihatan yang mana sebelum ini aku tidak pernah melihat dia berwajah demikian. Dia melanjutkan lagi ceritanya.
" Peristiwa kematian itu berlaku di suatu Hari Raya Korban. Pada hari itu, suamiku menyembelih korban dan perbuatan menyembelih itu diperhatikan oleh anak saya yang kedua, yang belum begitu cerdik. Memang menjadi kebiasaan pada anak-anak meniru setiap perbuatan yang dilakukan oleh oarng tua mereka. Saya tidak menyangka perbuatan menyembelih itu akan dilakukan pada adiknya. Suatu hari, ketika bermain-main dengan adiknya, anak saya Faisal telah membaringkan adiknya dan disembelihnya sebagaimana ayahnya menyembelih kambing. Kebetulan ketika itu kami tiada di rumah, pergi memetik buah tamar. Saya hanya mendengar dari jauh jeritan Ikrimah yang meminta tolong. Bila saya sampai saya lihat darah memancut-mancut keluar dari lehernya yang hampir putu. Dia tidak dapat diselamatkan dan meninggal di situ juaga."
" Kami menguruskan jenazah Ikrimah, setelah selesai baru kami perasan bahawa Faisal telah tiada. Mungkin dia ketakutan dan tidak menyangkan semua itu boleh berlaku. Suami saya yang masih terganggu fikirannya dan terkejut dengan peristiwa itu telah mengejar anak kami yang lari, dengan harapan menyelamatkannya tersesat di padang pasir dan dimakan serigala."
" Dari hari ke hari, dari minggu ke minggu serta dari bulan ke bulan mereka tidak juga balik. Saya masih tetap menunggu mereka dengan seribu harapan agar mereka kembali dengan selamat. Tapi nampaknya hampa. Saya yakin kedua-duanya mati kebuluran di tengah padang pasir yang kering kontang itu."
" Suatu hari, sewaktu fikiran saya sedang tidak menentu mengingatkan anak dan suami, saya biarkan anak kecil yang masih merangkak-rangkak bermain sendiri. Tanpa disangka-sangka dia mencapai cerek air panas yang sedang menggelegak. Seluruh tubuhnya melecur akibat terjirus air panas tersebut. Menjerit melolonglah anak itu sehingga akhirnya ia mati."
" Jiran-jirn ramai yang datang bila mendengar saya menjerit. Ada di antaranya yang sempat memberitahu anak sulung saya yang tinggal tidak jauh dari rumah saya. Siti Asma' yang sedang sarat mengandung datang terburu-buru. Bila melihat keadaan adiknya itu dia terus pengsan kerana terkejut melihat keadaan itu. Bila dikejutkan dan disapu air ke mukanya dia masih tidak juga sedar. Bila diperiksa nadinya, rupanya dia juga telah meninggal dunia. Kedua-dua anak saya telah pulang ke rahmatullah dan jenazah mereka berdua telah selamat dikebumikan oleh orang ramai."
" Alangkah sedihnya. Di mana lagi hati nak saya sandarkan diri ini? Ke mana hidup nak saya arahkan? Antara keinginan untuk mati dan hidup itu saya bawa hati ke sini, mempersembahkan kepada Allah. Beban yang terlalu berat saya rasakan. Semoga Allah sudi meringankan. Sekarang saya tenang, dan yang tinggal buat saya di dunia ini untuk dicintai dan dirindui hanyalah Allah. Saya akan habiskan masa yang masih tinggal untuk taat dan berbakti kepada Allah. Insya Allah."
" Sedarlah wahai saudara, bahawa ujian hidup itu datang dalam pelbagai bentuk dan ketikanya dan datang tanpa diundang. Kalau tidak mempunyai iman, manusia pasti karam dan tenggelam serta mati lemas di dalamnya."
Perempuan itu mengakhiri ceritanya dan pergi meneruskan ibadah seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa pada dirinya. Begitulah kiah seorang srikandi Islam, yang berjaya berhadapan dengan berbagai-bagai ujian dan penderitaan. Iman yang tinggal menyebabkan dia boleh sentiasa tersenyum dalam mengharungi kehidupannya. Senyum, syukur, sabar dan redha di waktu senang atau susah. Wanita begini tidak akan takut, berdukacita, gelisah, bimbang, kecewa dan tidak pernah kenal apa itu putus asa.
Bila semuanya sudah dimiliki itulah dia erti kebahagiaan hidup yang sebenar.
Sumber: Buku Peribadi Wanita Salafussoleh Penulis: Sharifah Fakhruddin
No comments:
Post a Comment