Thursday, February 9, 2012

Walau Malu Aku Tetap Meminta Syurga.

Bismillahirrahmanirrahim..



Terkadang bila duduk bersendirian. Persoalan ini pasti akan muncul di fikiranku.
" Adakah Allah redha dengan apa yang aku lakukan hari ini? Kiranya Allah tidak redha, bagaimana mungkin aku akan masuk syurga?"

Semoga setiap air mata yang jatuh menjadi saksiku di akhirat nanti.

O Allah, layakkah aku untuk menjejakkan kaki ke syurga-Mu? Adakah aku berpeluang untuk  merasakan nikmat-nikmat yang telah Engkau janjikan kepada penghuni syurga-Mu? 

Sungguh. Kadang-kadang merasakan diri ini amat tidak layak untuk masuk syurga-Mu.

Sebabnya sudah terlalu banyak dosa yang dilakukan. Saban hari pasti akan ada dosa baru yang dilakukan. Tidak kisah lah sama ada dosa kecil atau pun dosa besar. Allahu Rabbi. Ampunkan aku. Aku percaya dengan janji-Mu walau sebanyak mana pun dosa yang aku lakukan. Sekiranya aku bersungguh-sungguh memohon ampun. Engkau pasti akan ampunkan.
" Wahai Bani Adam, kalian tidaklah (sungguh-sungguh) berdoa dan berharap padaKu, Aku akan mengampuni dosa-dosa kalian dan Aku tidak peduli. Wahai Bani Adam, jikalau dosa kalian mencapai awan di langit, lalu kalian meminta ampun kepadaKu, Aku akan mengampuni kalian dan Aku tidak peduli. Wahai Bani Adam, jikalau kalian datang kepadaKu dengan dosa sebesar ukuran bumi tetapi kemudian kalian mendatangiKu dengan tanpa berbuat syirik kepadaKu, maka Aku akan datang padamu dengan ampunan sebesar itu pula". (HR At-Tirmidzi)
Aku percaya dengan kata-kata-Mu ya Allah. Tapi ini tidak bermaksud aku mempermainkan taubatku. Tidak. Sungguh aku tidak bermain-main dengan taubatku. Aku dambakan keampunan-Mu. Cuma kadang-kadang mujahadahku tidak kuat. Kadang-kadang aku tergelincir. Taubat. Tapi tergelincir lagi. Aku tahu Engkau Maha Pengampun. 

Selaluku dengar pengampunan-Mu sentiasa mendahului murka-Mu. Dan tanpa perlu aku mengadu, Engkau tahu segala isi hatiku. Tapi aku tahu, Engkau lebih menyukai hamba yang mengadu kepada-Mu. Engkau rindu untuk mendengar rintihan hamba-hamba-Mu.

Maafkan aku ya Rabb kerna, kadang-kadang kurasakan cintaku kepada-Mu sekelumit cuma. Sering silih berganti dengan cinta manusia. Pernah kurasakan kadang-kadang cintaku kepada manusia dan dunia ini melebihi cintaku kepada-Mu.

Ampunkan aku ya Rabb. Aku cuba mendidik hatiku supaya sentiasa mencintai-Mu. Dan sungguh aku cinta kepada-Mu. Akan ku cuba semaikan benih-benih cinta ini agar semakin bercambah supaya Engkau lebih ku cintai dari seisi alam ini. Kadang-kadang aku merasakan aku sangat hina di sisi-Mu. Apakah agaknya pandangan-Mu terhadapku yang selalu khilaf ini?

Selalu aku menangis membayangkan apakah nasibku di akhirat sana. Adakah aku tergolong dalam golongan yang memperoleh buku catatanku di dunia dari tangan kanan atau pun dari tangan kiri? Sudah terlalu banyak dosa yang kulakukan sampai lah hari ini. Sampai di saat aku menulis entry ini.

Tapi kata-kata kekasih-Mu selalu memujukku, membuatkan aku sedikit tenang:
Kejahatan yang menyebabkan engkau menangis lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.
Sungguh aku malu kepada-Mu atas semua dosa-dosa yang telah banyak kulakukan. Tapi, walaupun malu kepada-Mu, aku tetap ingin meminta syurga-Mu. Sebab aku tahu aku tidak mampu menahan seksa api neraka-Mu. Yang sudah tentu sangat pedih dan tidak tertanggung olehku.

Dalam rasa malu, aku tetap berharap kepada-Mu. Kurniakanlah syurga kepadaku. Sungguh aku tidak akan dapat masuk syurga tanpa rahmat dari-Mu. Bukan amalku yang melayakkan aku masuk syurga, tapi rahmat-Mu lah yang akan memasukkan aku ke syurga.
"Ya Allah, rahmatilah aku. Ampunilah semua dosa-dosaku sama ada dosa kecil ataupun besar. Terimalah taubatku ini. Dan kurniakanlah aku hati yang baru. Hati yang akan mencintai-Mu sepenuh jiwa dan ragaku". 
Amiin.

No comments:

Post a Comment