Bismillahirrahmanirrahim..
Pada 17 Mac 2012, satu program yang dinamakan Voice For Palestin (VOIP) telah dianjurkan oleh pelajar-pelajar Melayu Tasmania. Program ini telah dikendalikan oleh pakar isu Palestin iaitu Prof Madya Dr.Hafidzi Mohd Noor yang juga merupakan pengerusi Aqsa Syarif. Dr Hafidzi diterbangkan khas dari Malaysia ke Tasmania untuk menyampaikan isu Palestin kepada pelajar-pelajar di sini.
Program Voice For Palestin ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu program A dan juga Program B. Program A dihadiri oleh pelajar-pelajar Melayu University of Tasmania manakala Program B terbuka kepada semua Muslim di Tasmania. Program A diadakan dari pukul 10 pagi hinggalah pukul 5 petang. Manakala Program B diadakan pada pukul 6.30 petang sehingga pukul 8.30 malam.
Objektif utama Program Voice for Palestine adalah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan Masjid Al-Aqsa dan Palestine kepada umat Islam. Selain daripada itu, program ini juga diadakan untuk melatih para peserta bagaimana untuk bercakap mengenai isu Palestin kepada orang lain sama ada kepada Muslim dan juga non-Muslim.
PROGRAM A
Slot pertama program dimulakan dengan tayangan video yang bertajuk “ Tears of Gaza”. Video ini menceritakan tentang kekejaman Israel dan juga penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Palestine sejak Israel menduduki negara Palestin secara haram. Dr Hafidzi menerangkan bahawa “emotional commitment doesn’t last” and “ crying doesn’t help”. Sekadar menangis apabila menonton kekejaman Israel tidak mampu mengubah nasib penduduk Palestin kerana apa yang paling penting ialah memahami isu Palestin itu sendiri. Dan peperangan yang berlaku di Palestin itu bukanlah antara umat Islam versus Yahudi, tetapi Zionism versus all mankind. Isu Palestin perlu dipandang serius oleh umat Islam bukan hanya kerana ianya berkaitan dengan akidah umat Islam tetapi ianya juga berkaitan dengan isu kemanusiaan. Umat Islam perlu bangkit dan berjihad untuk memperjuangkan kebebasan Masjid Al-Aqsa.
Dr Hafidzi juga menerangkan tentang “Two State Solution” yang masih menjadi perbincangan. Sesiapa yang bersetuju dengan cadangan “ Two State Solution” iaitu mengiktiraf Palestin tapi dalam masa yang sama juga mengiktiraf Israel dianggap sudah mengkhianati berjuta-juta rakyat Palestin. Resolusi-resolusi PBB yang hanya menjadi mainan dan caturan rejim Zionis untuk membahagikan Palestin juga ditekankan. Isu Hamas dan Fatah juga dibincangkan dengan ringkas.
Dalam slot kedua program, berlaku sesi soal jawab antara para peserta dengan Dr Hafidzi berkenaan dengan isu Palestin.
Dalam slot ketiga program, Dr Hafidzi menceritakan tentang catatan pengalaman dan ibrah dari Gaza dan Mesir. Beliau juga menceritakan tentang latar belakang Aqsa Syarif dan projek-projek Aqsa Syarif untuk membantu rakyat Palestin secara terperinci kepada para peserta. Para peserta juga didedahkan dengan isu-isu politik sedunia yang bersangkutan dengan Palestin. Dengan itu para peserta dapat melihat dengan jelas bagaimana rejim Zionis dengan begitu angkuh dan licik mempermainkan umat Islam dalam usaha mereka untuk menjadikan Israel terus wujud dengan mengadakan hubungan luar dengan negara-negara lain. Walau bagaimanapun, hari ini, Israel semakin hilang sokongan daripada sekutu-sekutu lama dan cuba mencari peluang untuk membina hubungan luar dengan sekutu-sekutu yang baru. Kebangkitan negara-negara Islam juga juga dibincangkan secara ringkas supaya para peserta mengetahui apa yang sedang berlaku dalam dunia Islam pada hari ini.
Majlis ditutup dengan penyerahan mock check kepada Dr Hafidzi dan bergambar beramai-ramai.
PROGRAM B
Program B diadakan di Mosque Hobart pada pukul 6.30 petang hingga pukul 8.30 malam. Program B ini dihadiri oleh orang Islam di Hobart dan juga para pelajar Melayu. Intipati dalam slot ini adalah sama dengan intipati Program A.
Majlis bersurai pada pukul 8.30 malam.
No comments:
Post a Comment