Bismillahirrahmanirrahim..
Pernah tak dalam hidup, kita berhutang dengan orang lain? Mesti pernah kan walaupun sekali. Sama ada dalam jumlah yang kecil atau pun yang besar.
Pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dengan orang lain. Hal ini adalah kerana, hutang boleh menimbulkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di siang hari. Terasa sukar untuk melelapkan mata di malam hari kerana memikirkan beban hutang yang belum langsai. Siang hari pula menanggung malu bila terpaksa berhadapan dengan si pemberi hutang yang tidak pernah jemu meminta hutang.
Hutang wajib di bayar, walaupun kita hanya berhutang 10 sen dengan orang lain. Hutang tetap hutang! Tak kisah lah berapa jumlahnya. Ianya bukan hak kita. Perlu dikembalikan kepada yang berhak. Sehinggakan harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris.
Ingatlah bahawa ayat yang paling panjang dalam Al-Quran ialah mengenai hutang:
" Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah: 282)
Ini menunjukkan betapa pentingnya perkara hutang piutang dalam Islam. Betapa seriusnya hal hutang piutang ni. Islam selaku agama yang sempurna telah menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan penganiayaan.
Bagi orang yang berhutang, sekiranya dia berniat untuk membayar balik hutang tersebut, Insya Allah akan dipermudahkan urusannya oleh Allah. Sebaliknya, jika berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya sepertimana dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:
“Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya."
Maksud ‘Allah akan membayarkan’ di sini adalah Allah akan memudahkan rezeki seseorang itu agar dia dapat membayar hutangnya dan begitulah jika sebaliknya.
Bagi orang yang berhutang, cepat-cepatlah membayar hutang apabila berkemampuan. Sebabnya mungkin si pemberi hutang juga berada dalam kesusahan dan memerlukan duit. Sesetengah orang yang berhutang bukannya tidak mampu menjelaskan hutang mereka. Tetapi mereka lebih suka mengambil sikap berlengah-lengah. Sikap ini lah yang sebenarnya menyakitkan hati pihak yang memberi hutang. Kadang-kadang sampai boleh bermasam muka dan menimbulkan perbalahan. Mana taknya, dah banyak kali si pemberi hutang meminta balik hutang, tapi si penghutang buat-buat tak tahu je. Sedangkan dia mampu bayar.
Situasi ini bukan sahaja akan semakin mengeruhkan keadaan tetapi akan merosakkan imej si penghutang sekaligus menghilangkan kepercayaan orang terhadapnya. Jadi, agak sukar untuk orang memberikan bantuan di lain hari sekiranya dia memerlukannya.
Sebaik-baiknya, janganlah sampai pemberi hutang yang terpaksa menagih kembali hutang daripada kita. Sepatutnya, kita sebagai pihak yang berhutang perlu tahu tanggungjawab kita. Iaitu melunaskan hutang tanpa perlu ditagih.
Bagi pihak pemberi hutang pula, mereka berhak untuk menagih hutang yang diberikan. Jadi, jangan merasa marah apabila si pemiutang datang meminta hutang daripada kita. Sebab itu adalah haknya untuk meminta hutang.
"Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Sesorang lelaki memberi hutang kepada Rasulullah s.a.w lalu ditagihnya secara kasar. Oleh sebab itu para sahabat tidak senang terhadap orang tersebut. Maka bersabda nabi s.a.w,:”Orang yang memberi hutang berhak menagih. Belikan dia seekor unta muda kemudian berikan kepadanya!”. Berkata para sahabat:”Tidak ada unta muda ya Rasulullah! Yang ada hanya unta dewasa dan lebih bagus daripada untanya.”Sabda baginda:”Belilah, kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutang." (HR Muslim)
|
Islam menggalakkan si pemberi hutang untuk menghalalkan hutangnya sekiranya si penghutang tidak mampu melunaskan hutangnya. Allah ada berfirman dalam Al-Quran:
" Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah tenggang waktu sampai dia memperoleh kelapangan. Dan jika kamu menyedekahkannya, itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Al-Baqarah: 280)
Tapi sebagai pihak yang berhutang, kita tidak lah boleh selalu mengharapkan orang untuk menghalalkan hutang-hutang kita. Tidak semua orang akan bermurah hati untuk menghalalkan hutang-hutang mereka. Lebih-lebih lagi jika besar jumlahnya. Jadi, berusahalah sehabis boleh untuk melunaskan hutang-hutangmu.
Sekiranya kita sudah tahu tidak mampu membayar balik hutang, janganlah berhutang dari awalnya. Setiap individu Muslim seharusnya mengamalkan sifat 'qanaah' iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan. Dengan ini, hutang dapat dielakkan.
|
Saidina Umar ada berkata, "Jika meminum seteguk air ketika sangat dahaga itu akan menjatuhkan harga diriku.. nescaya aku tidak akan meminumnya." Jadi, seboleh-bolehnya bebaskan diri kita dari hutang melainkan jika benar-benar terpaksa. Hidup tanpa hutang itu lebih aman dan tenang kan? ^_^
|
No comments:
Post a Comment